ANDAI bergelar hartawan suatu hari nanti, antara kenderaan yang penulis idamkan ialah Ferrari GTC4Lusso T yang dipandu uji untuk Vroom Metro Ahad kali ini.
Ia tidak saja menyerlahkan status dan gaya, malah sesuai untuk kegunaan harian serta boleh memuatkan empat penumpang dengan selesa.
Meskipun ini bukan kali pertama memandu Ferrari, rasanya sedikit berbeza jika dibandingkan dengan model terdahulu.
Sememangnya Ferrari mengekalkan DNA dua pintunya dan model ini menerima sentuhan konsep ‘Grand Touring’ yang tidak saja menjanjikan prestasi malah penuh dengan ciri praktikal.
Melihat pada reka bentuk model ini, ia diinspirasikan daripada segmen kenderaan ‘shooting brake’ coupe dengan bayangan ‘fastback’ menjadikan ia kelihatan unik.
Pada bahagian hadapan, tampil gaya maskulin dengan gril tunggal besar yang berfungsi bukan sekadar aliran udara untuk sistem penyejukan malah membantu menambah kuasanya.

Slideshow Image
Sebagai ‘supercar’ praktikal, ia juga direka dengan lengkungan bumbung yang lebih rendah, namun masih lagi selesa terutama buat penumpang belakang.
Padanan rim aloi bersaiz 20 inci 245/35 di hadapan dan 295/35 di belakang, berpadanan dengan panjang keseluruhan model ini iaitu 4,922 milimeter (mm) dengan kelebaran 1,980mm serta ketinggian 1,383mm.
Ciri lain menarik ialah ‘sirip’ tepi elemen sporty, empat saluran ekzos, pintu ketiga pada bahagian but dan lampu belakang berkembar signatur Ferrari seterusnya menyerlahkan gaya prestasi ‘Prancing Horse’ ini.
Slideshow Image

Memasuki ruang dalam kabin adalah sesuatu yang menarik untuk dikongsi kerana ia direka gaya kontemporari serta dalam kelas tersendiri.
Mewah dan sporty adalah gabungan yang menjadikan GTC4Lusso T yang pertama didatangkan dengan rekaan dua kokpit.
Rekaan ini membolehkan pemandu dan penumpang berkongsi pengalaman memandu yang sama melalui skrin individu.
Ia dipisahkan melalui konsol tengah yang juga berfungsi sebagai perehat tangan dilengkapi butang mengundur, auto atau manual (transmisi) serta lampu kecemasan yang direka semula untuk disesuaikan dengan model ini.

Slideshow Image
Stereng gentian karbon diinspirasikan daripada Formula 1 (F1) dengan fungsi utama kenderaan padanya iaitu untuk menghidupkan enjin, mod pemanduan, lampu isyarat dan tuil gear membolehkan anda merasai gaya pemandu profesional.
Kerusi tempat duduk hadapan konsep ‘bucket’ kulit dan penumpang belakang khusus untuk dua orang dengan perehat tangan dan corong pendingin udara boleh laras menjadikan ia sesuai untuk perjalanan jauh.
Ruang but seluas 450 liter yang boleh menjadi 800 liter dengan kerusi belakang direbahkan membolehkan jentera ini membawa barangan keperluan serta beg.
Slideshow Image

Bagi memuatkan barangan berdimensi panjang, kerusi belakang boleh direbahkan menjadikan GTC4Lusso T ini ‘supercar’ yang fleksibel.
Sistem multimedia dan hiburan berdefinisi tinggi (HD) dengan skrin sesentuh 10.25 inci antara yang ada padanya.
Ia juga dilengkapi fungsi navigasi, radio dan ketersambungan aplikasi Apple CarPlay dan Bluetooth serta untuk pemandu, skrin khusus dengan tiga kluster analog dan digital untuk kemudahan maklumat perjalanan.