PILIHAN motosikal segmen ‘street’ di pasaran tempatan semakin berkembang dan terkini, jenama TVS memperkenalkan Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0.
Menerusi pengedar rasmi untuk pasaran Malaysia dan Brunei, Daju Motors Sdn Bhd, ia juga menawarkan motosikal ‘moped’, TVS Neo X3i.
Sesi tunggang uji dianjurkan baru-baru ini di Litar Elit Speedway, Subang Jaya bagi media dan pelanggan mencuba prestasi motosikal import sepenuhnya itu dari kilang pemasangan TVS di Indonesia.
Apache RTR 200 4V dijana enjin 198.7cc empat lejang silinder tunggal dengan janaan kuasa kuda 20.8 hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum sehingga 18.1Nm pada 7,000 rpm.Menerusi teknologi enjin sejukan minyak, ia mengurangkan kepanasan enjin sehingga 10 peratus untuk prestasi maksimum tanpa gangguan daripada haba.

Ia adalah model pertama dalam segmennya yang dilengkapi ‘Klac Slipper A-RT’ (Anti-Reverse Torque) untuk prestasi motosikal yang lebih lancar dengan 22 peratus pengurangan tenaga terbazir ketika menggunakan klac setiap kali menukar gear.
Sesuai untuk kegunaan litar, ia direka dengan gaya jentera perlumbaan pada rekaan grafik serta panel meter LCD penuh dengan fungsi catatan masa turut tersedia.
Rekaan casis ‘cradle’ terpisah menjadikan ia model berorientasikan perlumbaan untuk lebih kawalan pada kelajuan tinggi dan selekoh, serta ekzos berkembar edisi perlumbaan untuk bunyi frekuensi rendah.
Roda 17 inci dengan padanan tayar daripada Pirelli Angel GT untuk lebih cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan penyerap hentakan tunggal KYB talaan perlumbaan antara kelebihan model ini.